Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) adalah entiti yang ditubuhkan Johor Corporation (JCorp) pada tahun 1997 untuk menjadi pelaksana aktiviti tanggungjawab korporat JCorp dan syarikat Kumpulan. Bermula 2021, Yayasan JCorp disusun semula untuk meningkatkan keberkesanan dan meluaskan bidang peranan. Seterusnya, Yayasan JCorp merombak dan membina semula strukturnya bagi melaksanakan inisiatif serta memegang peranan dalam bidang baharu pada 2021 seiring perubahan masa.
Antara inisiatif yang dilaksanakan menerusi penstrukturan baharu Yayasan JCorp adalah melakukan pemusatan (centralization) bagi semua aktiviti tanggungjawab korporat syarikat Kumpulan. Langkah itu membentuk satu titik fokus yang penting bagi membolehkan JCorp menyatukan dana, menyelaraskan aktiviti serta menyalurkan rantai arahan yang lebih jelas menerusi satu saluran tunggal, iaitu Yayasan JCorp, bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat syarikat Kumpulan.
Langkah pemusatan memberi kesan positif khususnya pengurangan perbelanjaan serta pelaksanaan arahan yang pantas. Dari sudut lain, ia mendorong peningkatan impak dan kecekapan pengurusan, serta memudahkan kawalan. Hal ini sekali gus mengelakkan pertindihan aktiviti selain memintas rintangan birokrasi yang kerap menjejaskan prestasi inisiatif.